Kejohanan Catur Malaysia Lions International Chess Championship Cup for Disabled 2024 (Southern Region) telah berlangsung dengan penuh semangat pada Sabtu, 30 November 2024, di Fairview International School, Bandar Dato Onn, Johor Bahru. Kejohanan ini melibatkan 6 pusingan sengit dengan penyertaan seramai 16 peserta dari pelbagai latar belakang, yang diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka dalam sukan catur.
Penyertaan dalam kejohanan ini adalah sebahagian daripada persediaan untuk mewakili Zon Selatan dalam kejohanan peringkat kebangsaan pada tahun 2025 di mana akan bersaing dengan zon-zon lain seperti zon tengah, zon utara dan zon timur. Setelah melalui pusingan yang sengit, Hanson Ang Ping Ting muncul sebagai juara, manakala Ahmad Jais Pani dinobatkan sebagai Naib Johan dan Mohd Hafiz Zulhisham menduduki tempat ketiga. Selain mereka, tujuh peserta lain yang berjaya memperoleh tempat keempat hingga ke sepuluh ialah Tharsshen A/L Govikrishnan, Mohamad Farhan Shukry Bin Jamil, Wong Yi Heng, Aqilah Syahira Binti Ahmad, Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil, Muhammad Ammar Bin Ibrahim Istar, dan Yap Min Shuen.
Kejohanan ini, yang turut mendapat kerjasama dengan Persatuan Catur Orang Kurang Upaya Negeri Johor, memberi peluang kepada golongan OKU, untuk mengasah kemahiran mereka dalam catur dan beraksi di peringkat yang lebih tinggi.