Thursday, November 7, 2024

Karnival Bakat Sukan Para Siri 3/2024 Tampilkan 10 Acara Sukan, Termasuk Catur

Semenyih, 6 November 2024 – Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama University of Nottingham, Semenyih, hari ini menganjurkan Karnival Bakat Sukan Para Siri 3/2024 yang menampilkan sepuluh acara sukan termasuk Para Catur. Karnival yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Nottingham ini bermula seawal 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan melibatkan hampir 100 peserta berbakat dari seluruh negara yang ingin menceburi pelbagai jenis sukan yang ditawarkan.

Melalui pertandingan dan sesi latihan intensif ini, peserta dapat mengembangkan kemahiran, menerima bimbingan khusus, serta berlatih dalam suasana kompetitif yang menyerupai kejohanan antarabangsa.

Bagi Para Catur, karnival ini turut mendapat sokongan dari wakil Persatuan Catur Orang Kurang Upaya Malaysia dan atlet tempatan berpengalaman, yang membantu memberi panduan dan nasihat teknikal dalam setiap acara. Antara yang hadir membantu adalah Siti Safura ditemani ayahnya, Farhan, Johar, Hasidin dan Rafiq. 

Menurut wakil persatuan, “Program ini adalah platform penting untuk mengenal pasti dan mengasah bakat atlet para yang berpotensi besar. Kami berharap usaha Majlis Sukan Negara dan University of Nottingham ini akan melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.”

Karnival Bakat Sukan Para Siri 3/2024 ini diharapkan menjadi langkah awal dalam membentuk generasi atlet para yang mampu mencapai kejayaan di arena ASEAN dan antarabangsa.